Toksin air merah masih ada pada kerang

  Jabatan Perikanan Sabah mengumumkan bahawa sampel kerang yang dikumpul dari pelbagai tempat di  negeri ini masih mengandungi paras bahaya toksin fenomena air merah.

Pengarahnya, Rayner Stuel Galid berkata, keputusan menunjukkan bahawa tahap ketoksikan kekal memudaratkan iaitu dalam 700 MU (Unit Mouse), 300 MU lebih tinggi daripada paras yang dianggap selamat untuk manusia

“Memakan kerang yang mengandungi toksin air merah menyebabkan keracunan makanan dan boleh membawa maut,” kata Rayner.

“Hanya Jabatan Perikanan dapat mengesan kehadiran toksin dalam kerang dan ujian dijalankan di makmal khas kami. Toksin tidak dapat dikesan oleh penglihatan, bau atau rasa dan ianya tidak boleh dikeluarkan melalui cucian teliti atau memasak,” katanya.

Fenomena air merah atau Red Tide adalah istilah yang biasa digunakan untuk alga bloom berbahaya (HAB). HAB berlaku apabila koloni tumbuh-tumbuhan laut atau pertumbuhan alga terkeluar dari kawalan. Satu sel tunggal boleh menyebabkan pembiakan beberapa ratus sel-sel dan keadaan air yang sesuai akan menyebabkan pengeluaran toksin yang boleh melemahkan manusia. Bahan toksin ini membunuh ikan dan menjadikan kerang-kerangan tidak selamat untuk dimakan. Bloom ini juga sering menukarkan air menjadi merah, dengan itu istilah “air merah” pun berlaku.

Menurut Rayner, keadaan cuaca panas dan basah baru-baru ini menyebabkan tempoh fenomena air merah di Sabah berpanjangan.

Fenomena ini pertama kali dikesan pada November tahun lalu dan sampel kerang dikumpulkan dari Kuala Penyu, Tuaran, Sipitang dan pantai Bandaraya Kota Kinabalu menunjukkan tahap yang lebih tinggi racun pada Mac tahun ini.

Orang ramai dinasihatkan untuk menahan diri daripada menjual dan mengambil semua jenis kerang atau dwicangkerang seperti tiram, kupang, kerang, kepah atau krustasia seperti udang dan ketam.

Rasa semut-semut atau sensasi mencucuk dalam mulut dan lidah, sakit kepala, loya adalah tanda-tanda keracunan air merah atau keracunan paralitik kerang-kerangan (PSP). Simptom boleh bertambah dari kebas kepada kehilangan kawalan anggota badan yang membawa kepada kegagalan pernafasan.

Kesan tanda-tanda toksik adalah cepat dan gejala awal biasanya berlaku dalam tempoh dua jam selepas memakannya. Rawatan perubatan mesti segera dilakukan. Setakat ini, fenomena air merah telah mengorbankan tiga nyawa di Sabah. – Insight Sabah

Diterbitkan pada Jun 08, 2013

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *